Saturday, January 9, 2010

Dinamika Dakwah Islamiah

Di dalam sirah perjalanan dan perjuangan dakwah Islam yang dipimpin oleh kepimpinan agung Rasulullah SAW dengan sokongan dan dokongan kumpulan teras para sahabat awalun, mereka telah melalui fasa dakwah secara 'bersembunyi' (sirri) kepada fasa terang-terangan atau terbuka.
Tahap pertama (sirri) adalah tahap pembinaan dan pembentukan manakala tahap Kedua adalah tahap penyebaran dakwah secara terang-terangan dan melakukan perjuangan untuk membentuk sebuah masyarakat yang baru (dari segi pemikiran dan perbuatan).
A. Tahap pembinaan dan pengkaderan (Pembentukan) [Marhalah Tasqif]
Tahap ini dimulai sejak Baginda SAW diutus menjadi Rasul, setelah firman Allah SWT : "Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah, lalu berilah peringatan!" [Al-Muddatstsir: 1-2]
Baginda SAW secara diam-diam (sirriyah) mulai mengajak masyarakat untuk memeluk Islam. Selama tiga tahun Baginda SAW menyampaikan dakwah dalam bentuk ajaran per individu dari rumah ke rumah. Bagi yang menerima dakwah, segera dikumpulkan di rumah seorang sahabat bernama Arqam, sehingga rumah tersebut dikenali sebai Daurul Arqam (rumah Arqam). Di rumah ini setiap hari para sahabat mendengarkan ayat-ayat Al-Qur'an dan penjelasan dari Rasulullah SAW. Pendek kata tempat inilah mereka dibina dan dibentuk dengan bersungguh-sungguh dan terus menerus. Selanjutnya beberapa daripada mereka diutus untuk menyampaikan dakwah kepada yang lain. Di antaranya adalah Khabab bin Arts yang mengajarkan Al-Qur'an di rumah Fatimah binti Khaththab bersama suaminya, yang kemudian dari sinilah Umar bin Khaththab masuk Islam.
Baginda bersungguh-sungguh untuk mentarbiyah (mendidik dan membentuk) pemeluk-pemeluk Islam dan menyempurnakan tsaqafah mereka mengenai agama Islam, disamping mengajarkan Al-Quran kepada mereka. Sahabat-sahabat ini telah membentuk satu kumpulan dan seterusnya berganding bahu dalam menyebarkan dakwah Islam. Jumlah mereka semakin meningkat melebihi 40 orang, yang dianggotai oleh lelaki dan perempuan, mereka datang dari pelbagai lapisan masyarakat, dan kebanyakan daripada mereka usianya masih setahun jagung. Bukan sahaja daripada golongan berada malahan tidak terkecuali golongan yang miskin, ada yang lemah dan juga yang kuat.
Jika dikaji secara saksama, maka akan dapat difahami mengapa tahap awal dakwah Rasulullah ini dilakukan secara sirriyah (diam-diam). Suatu konsepsi atau pemikiran yang masih asing dan belum terfikirkan oleh masyarakat, hendaklah terlebih dahulu disampaikan secara diam-diam dengan memperbanyakkan face to face (bersemuka) dan penjelasan. Ternyata terbukti kemudian, aktiviti seperti ini mampu menghasilkan kader(pembetukan kumpulan kecil) dan pendukung teguh yang bersedia mengorbankan apapun untuk meraih cita-cita yang diharapkan. Maka inilah thoriqah (jalan atau cara) yang tepat untuk mengawali dakwah di tengah-tengah masyarakat yang menerapkan aturan jahiliyyah yang sama sekali jauh dari nilai-niali Islam.
Berdasarkan langkah dakwah ini jumhur (majoriti) fuqaha’ berpendapat bahawa bila kaum muslimin berada pada posisi atau kedudukan lemah, rapuh kekuatannya dan khuatir hancur binasa oleh kekuatan lawan, maka hal ini lebih utama kerana seseorang muslim tidak boleh menyerah kepada kaum kafir atau zalim dan tidak boleh berdiam diri tanpa berjihad melawan orang-orang kafir.
B. Tahap ke dua: Titik Pelancaran (Launching point) Dakwah Nabi
Masyarakat Mekah telah mengetahui seruan kepada Islam sejak hari pertama Rasulullah s.a.w diutuskan sebagai Rasul. Masyarakat Mekah juga mengetahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah mengajak kepada suatu Din yang baru, dan beberapa orang telah menerima Islam, mereka juga tahu bahawa Rasulullah saw telah mengumpulkan sahabat-sahabatnya dan mengajar mereka berserta kaum muslimin yang lain secara rahsia dari kaum Quraisy dimana mereka telah dikumpulkan di dalam bulatan ilmu (halaqah) dan belajar mengenai Deen yang baru itu.
Masyarakat Mekah menyedari adanya seruan kepada Islam, meraka juga maklum bahawa ada orang yang telah beriman kepadanya tetapi mereka tidak pernah tahu dimanakah mereka berjumpa atau dengan siapa mereka bertemu. Inilah sebabnya apabila Rasulullah saw mengisytiharkan kepercayaan (keimanannya) yang baru itu, ia tidak menjadi suatu kejutan kepada masyarakat Mekah. Apa yang memeranjatkan mereka ialah kemunculan satu kumpulan kaum muslimin. Iaitu kaum muslimin yang mendapat kekuatan yang hebat apabila Hamzah Ibnu Muthalib memeluk Islam, diikuti Umar bin Al-Khatab tiga hari kemudiannya. Kemudian datanglah wahyu Allah SWT.: "Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang musyrik, sesungguhnya kami memelihara kamu daripada kejahatan orang-orang yang memperolok-olokan kamu iaitu orang-orang yang menganggap adanya Tuhan yang lain disamping Allah maka mereka kelak akan mengetahui akibat-akibatnya" (Q.s. Al-Hijr: 94-96).
Rasulullah secara pasrah mematuhi perintah daripada Allah dan membawa kumpulannya keluar untuk menyampaikan Islam ke seluruh Mekah. Baginda (Rasulullah saw) keluar bersama sahabat-sahabatnya dalam dua barisan iaitu satu diketuai oleh Umar dan satu lagi diketuai oleh Hamzah. Mereka berjalan dalam susunan sedemikian yang tidak pernah disaksikan oleh kaum Quraisy sebelum ini. Rasulullah saw kemudiannya mengelilingi Kaabah bersama-sama sahabatnya.
Inilah peringkat dimana Rasulullah saw bergerak bersama-sama sahabatnya dari fasa yang rahsia kepada peringkat yang terbuka, daripada fasa menyeru dan mengajak kepada Islam bagi orang yang baginda rasa telah bersedia untuk menyahutnya kepada fasa dimana dakwahnya ditujukan kepada semua masyarakat.
Di sini bermulalah satu era baru dalam dakwah Rasulullah di mana pertembungan diantara Iman dan Kufur bermula di tengah-tengah masyarakat, serta perjuangan diantara mafahim (konsep) yang hak dengan yang bathil juga bermula.
Oleh yang demikian, bermulalah fasa kedua iaitu "fasa interaksi" dan "perjuangan" dengan mafahim selain Islam. Dengan wahyu tersebut maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas. Antara langkah awal dakwah cara terang-terang ialah Rasulullah menjemput kaum Quraisy serta pembesar-pembesar Quraisy menghadiri perjumpaan (rapat umum) di kaki bukit Safa dan menyeru mereka kepada agama Islam dan menyembah Allah swt. Dakwah pada peringkat ini menerima tentangan yang hebat dari kafir Qurais.

Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut.

Pengorbanan merupakan hal yang tidak dapat dihindari dalam setiap perjuangan dakwah. Ujian dan dugaan adalah seumpama harga yang perlu dibayar di dalam perjalanan meraih keridhaan Allah sebelum natijah kemenangan memihak kepada jamaah Islamiyah Hakikiyah.

No comments:

Post a Comment