Tuesday, December 29, 2009

Nilai Pendidikan Anak-Anak


Di peringkat Negara, pendidikan generasi muda sering mendapat perhatian dan peruntukan yang besar. Itu adalah kerana kepincangan generasi muda akan melibatkan masalah dan kos yang sangat besar untuk diperbaiki. Malaysia kini dilaporkan terpaksa membelanjakan sejumlah RM1.3 bilion bagi tujuan menangani masalah dadah walaupun kerajaan dinyatakan masih gagal dalam usaha menanganinya (rujuk di sini).
Itu baru satu masalah negara, apa pula masalah-masalah lain seperti juvana, gejala sosial, kemaksiatan dan lain-lain – kesemuanya bukan sahaja melibatkan perbelanjaan wang ringgit, tetapi curahan tenaga penguatkuasa dan prasarana berbilion ringgit pula.
Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Hal tersebut sebenarnya bermula dengan keimanan sesaorang individu, sebab itu semenjak Nabi Ibrahim hal ini telah menjadi keperihatinan dan tertera di dalam do’a Nabi Ibrahim. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala. Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka sesiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk daripada golonganku, dan sesiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Ibrahim:35-36).
Pada ibu bapa yang diberi hidayah dan kesedaran serta peluang memasukan anak-anaknya ke sekolah-sekolah Islam, mereka akan mengambil peluang keemasan tersebut dan sangup mengorbankan sebahagian rezekinya untuk membayar yuran pendidikan di sekolah Islam swasta walaupun mempunyai pilihan untuk mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan yang boleh dikatakan percuma. Ibu bapa tersebut tentunya menyedari hadith Rasulullah dan berusaha untuk memastikan anak-anak menjadi anak yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya);“Kanak-kanak itu dilahirkan suci murni, maka ibu dan ayahnyalah yang akan menjadikan ia Nssrani, Yahudi atau Majusi ataupun seorang yang tidak berpegang kepada sebarang agama hingga dia tidak yakin dan percaya akan wujudnya Tuhan itu”
Di sekolah yang mengutamakan dan menjadikan asas pendidikan Islam sebagai tunggak pendidikan, aspek keberkesanan pendidikan (tarbiyah) tidak dikompromikan walaupun disamping itu pelajaran akademik turut diajar. Sekolah Islam sebegini berpegang kepada Firman Allah (maksudnya); “Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari mengerjakan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah”. (Surah Luqman:17)
Kepada ibu bapa yang memilih sekolah Islam sebagaimana sekolah-sekolah rangkaian MUSLEH di Malaysia (sebagai contoh), mereka sedar akan sabda Rasulullah SAW (maksudnya); “Satu dirham yang anda belanjakan di jalan Allah dan satu dirham yang anda keluarkan kepada kenderaan anda; dan satu dirham yang anda nafkahkan kepada anak-anak anda; antara semuanya itu sebaik-baik dirham itu ialah apa yang anda nafkahkan kepada anak anda.” (Maksud Hadith)
Pendidikan Islam anak-anak diperingkat rendah dan menengah sesungguhnya bukan suatu ‘pilihan’ sebaliknya ia adalah Amanah dan Kewajipan yang perlu ditunaikan oleh ibu bapa. Bayaran yuran dan keperluan memasukkan anak-anak di sekolah Islam swasta sememang memerlukan bayaran yang agak tinggi (namun tidaklah setinggi sekolah swasta lain). Tetapi jika kita meneliti pengorbanan ini di dalam perspektif perjuangan dan tanggungjawab ayah ibu, ia sebenarnya adalah pelaburan yang sangat tepat dan terpuji. Kejayaan pendidikan anak-anak melalui pendekatan ini, Insya Allah bukan sahaja akan memungkinkan lahirnya generasi soleh wa-musleh yang akan menyejukkan dan mengamankan roh-roh ibu bapa, lebih dari itu akan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, negara dan ummah. Kita sebenarnya adalah pendokong dan pemangkin kepada bakal lahirnya generasi baru seumpama ‘Umar Abdul Aziz’, ‘Salahuddin al-Ayubi’ dan ‘Hassan Al-Banna’ Insya Allah. Jika itu menjadi niat kita, sesungguhnya nilaian pengorbanan ini di sisi Allah sangatlah besar berbanding wang yang kita belanjakan untuk pendidikan anak-anak kita itu yang sebenarnya juga adalah datangnya dari Allah dan merupakan amanah Allah untuk kita belanjakan ditempat yang terbaik. [Gambar: Pelajar Sek Tahfiz Al-Islah (STAIL) Seberang Perai].

No comments:

Post a Comment